JAMBATAN GANTUNG
Jambatan gantung sepanjang 100 meter yang telah terbina dengan megahnya merentasi Sungai Kanowit merupakan salah satu jalan perhubungan utama bagi penduduk Kampung Seberang Cina, Sungai Manok dan Pekan Julau. Terdapat 40 rumah di Kampung Seberang Cina yang mempunyai kapasiti penduduk kira-kira 400 orang amat memerlukan kemudahan seperti jambatan gantung tersebut. Jambatan gantung tersebut telah mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2012. Pembinaan jambatan gantung tersebut merupakan hadiah yang paling bermakna bagi penduduk di kawasan Kampung Seberang Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2012 kerana telah 30 tahun menanti kewujudan kemudahan tersebut. Terdahulunya, penduduk di kawasan tersebut hanya menggunakan perahu untuk pergi ke pekan dan mengambil masa yang lama untuk sampai. Setelah adanya jambatan gantung, penduduk dapat pergi ke pekan dengan masa yang singkat. Jambatan gantung telah memudahkan pergerakan mereka untuk ke pekan menjual hasil tanaman, membeli keperluan asas, menghantar anak ke sekolah dan juga pergi ke klinik. Di samping itu, jambatan gantung ini juga telah menarik minat masyarakat di Daerah Julau dan juga dari daerah lain untuk pergi ke jambatan tersebut untuk melihat dan menikmati permandangan yang aman dan damai di sekitar jambatan gantung lebih-lebih lagi ketika di waktu senja.